Harapan Baru himpun ulama, pemikir selesai kemelut

SHAH ALAM – Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) akan menganjurkan Nadwah Ulama Nahdhah Jadidah 2015 (Nunji15) sebagai usaha menghimpun ulama dan pemikir untuk berbincang pembentukan formula ‘Fiqh Malaysia’ yang sesuai untuk negara majmuk.

Menurut pengarahnya, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, sebagai sebuah gerakan politik, Harapan Baru melihat dengan cermat segala perubahan yang berlaku, termasuk suasana hubungan agama dan kaum yang semakin tegang ketika ini.

“Atas dasar itu, Harapan Baru terpanggil untuk mencari satu formula penyelesaian kepada kemelut yang berlaku, dengan menjadikan Islam sebagai teras penyatuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Mujahid, Nadwah (majlis) tersebut akan berlangsung Sabtu ini, di sini.

“‘Fiqh Malaysia’ juga akan menjadi garis panduan kepada Harapan Baru merangka pendekatan politik Islam wajah baru melalui parti yang akan ditubuhkan sedikit masa lagi.

“Ia dalam maksud, menyebarkan keadilan Islam dan menyatukan masyarakat berbilang kaum sesuai dengan konsep ‘Islam, Rahmat Untuk Semua’,” akhiri beliau.

Sumber: Sinar Harian