Sarawak ada autonomi berkenaan PRN

KUCHING – Parti Pekerja-pekerja Malaysia (PPM) Sarawak mempunyai autonomi dalam membuat pelbagai ketetapan berkaitan pilihan raya negeri (PRN).

Menegaskan demikian, Pengerusi penaja PPM, Mohamad Sabu berkata, pihaknya memberi kepercayaan kepada barisan kepimpinan negeri yang menurutnya diterajui ramai anak negeri yang arif mengenai politik tempatan.

Bekas Timbalan Presiden Pas yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata, PPM Sarawak akan diberi kebebasan bekerjasama dengan rakan sekutu dari DAP dan PKR dalam membuat perancangan dan merangka strategi PRN nanti.

Katanya, ketika parti-parti pembangkang mengakui terdapat perbezaan dalam ideologi masing-masing, terutama antara PPM dan DAP dalam soal hudud, semua pihak faham dan bersatu dalam matlamat untuk menumbangkan kerajaan BN.

Mat Sabu memberi penjelasan dalam sesi soal jawab di majlis penerangan mengenai PPM di sebuah hotel di sini.

Turut hadir beberapa tokoh yang dijangka menganggotai kepimpinan PPM seperti Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli; Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, serta Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

SUMBER: Sinar Harian